Rabu, 25 Desember 2013
Nelayan takut nak turun laut

Ka Yeau (tengah) dan Aik Leong (kanan) menunjukkan pukat kelongsong bersaiz 38 MM yang digunakan nelayan selepas penguatkuasaan akta tersebut.

Bot pukat tunda tersadai sejak Jumaat lalu berikutan keengganan nelayan keluar ke laut menangkap ikan.
SEKINCHAN – Pendapatan kira-kira 500 nelayan pukat tunda di Sekinchan di sini, terjejas berikutan tidak keluar menjalankan aktiviti menangkap ikan ke laut sejak 1 November lalu selepas penguatkuasaan Akta Perikanan 1985.
Rata-rata mereka mendakwa, penguatkuasaan akta itu hanya menyusahkan nelayan kerana terpaksa menggunakan pukat kelongsong 38 milimeter (mm) berbanding hanya 22mm yang digunakan mereka sebelum ini.
Penggunaan pukat kelongsong 38 mm itu menyebabkan hasil tangkapan nelayan pukat tunda semakin berkurangan, malah ada yang mendakwa tidak memperoleh hasil tangkapan seperti yang diharapkan hingga terpaksa menanggung kerugian.
Nelayan pukat tunda bukan saja terpaksa menukar saiz pukat kelongsong, malah kecewa dengan kenaikan harga minyak diesel sebanyak RM0.20 sen yang sudah tentu memberi impak kepada pengeluaran ikan di kawasan itu.
Bagi nelayan pukat tunda Zon B pula, mereka pula berdepan masalah tidak boleh menggaji pekerja asing berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan mereka menggunakan khidmat nelayan asing.
Takut kena saman
Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Lau Ka Yeau berkata, dengan penguatkuasaan akta itu, kesemua nelayan di Sekinchan tidak turun ke laut sejak Jumaat lalu.
“Mereka (nelayan pukat tunda) tak berani turun ke laut kerana takut kena saman. Kebanyakan mereka masih menggunakan pukat kelongsong 22mm berbanding 38mm yang dikuatkuasakan kerajaan,” katanya.
Ka Yeau berkata, setiap nelayan terpaksa mengeluarkan wang membeli pukat kelongsong 38mm bagi menggantikan pukat kelongsong sedia ada pada harga RM800 bagi setiap empat meter pukat tersebut.
Menurutnya, pukat kelongsong bersaiz lebih besar itu hanya merugikan nelayan kerana tangkapan ikan akan merosot dan hanya ikan bersaiz tertentu sahaja dapat diraih jika menggunakan pukat terbabit.
Pukat disyor merugikan
“Kami tidak ada masalah jika ingin menukar pukat, tetapi pukat yang disyorkan kerajaan tidak menguntungkan nelayan kerana saiznya lebih besar dan menyebabkan kebanyakan ikan dan udang mudah terlepas daripada pukat akan tercedera.
“Jika ikan-ikan ini tercedera, ia sudah tentu merugikan sumber ikan negara kerana mungkin habitat ini tidak dapat hidup lebih lama,” katanya.
Katanya, berbeza dengan penggunaan pukat kelongsong 22mm, kebanyakan ikan sederhana kecil mudah terperangkap dalam jaring dan keadaan itu menyebabkan hasil tangkapan nelayan lebih tinggi.
“Macam mana mereka hendak meneruskan aktiviti menangkap ikan jika keadaan ini berterusan, malah mereka pula terpaksa menanggung kerugian apabila hasil pendapatan yang diraih berkurangan,” katanya.
Pemangku Pengerusi Persatuan Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Lee Aik Leong berkata, dengan pengurangan subsidi kerajaan, nelayan pukat tunda terpaksa menampung kenaikan diesel sebanyak RM0.20 sen seliter.
“Kenaikan minyak diesel ini menyulitkan lagi keadaan nelayan yang kebanyakannya hanya bergantung kepada hasil tangkapan laut, apatah lagi dengan beban kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Akta beri tekanan
Beliau berkata, dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup golongan nelayan, kenaikan harga minyak diesel hanya menambah beban golongan itu, tambahan pula dengan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985.
“Sudahlah hasil tangkapan semakin berkurangan, nelayan pula terpaksa menanggung beban kos diesel antara RM3, 000 hingga RM4, 000 sebulan disebabkan pengurangan subsidi bahan api yang diumumkan kerajaan,” katanya.
Seorang Nelayan Pukat Tunda Zon B, Heng Chen Peng, 42, berkata, sejak penguatkuasaan akta itu, beliau tidak turun ke laut hampir seminggu kerana bimbang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas.
Malah, katanya, dia juga terpaksa melupakan khidmat pekerja asing dengan langkah penguatkuasaan tersebut.
“Macam mana nak keluar tangkap ikan kerana sebelum ini kesemua pekerja saya adalah warga asing. Keadaan ini beri tekanan kepada saya untuk meneruskan aktiviti ini,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Khor Kwee Meng, 33, berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta membantu nelayan menyelesaikan konflik itu sekali gus memberi satu harapan baru kepada mereka untuk meneruskan aktiviti tersebut.
“Kita minta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan masalah kami kerana tidak mahu hasil tangkapan kami terjejas selain bimbang memberi kesan kepada hasil pengeluaran ikan di kawasan ini,” katanya.
sumber:
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar